KUALA LUMPUR - Tiga lagi rakyat Malaysia, terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki ditahan dalam operasi oleh Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti keganasan kumpulan militan Negara Islam (IS) di Syria.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, suspek yang berusia 28 hingga 34 tahun itu diberkas di sekitar ibu negara dan Selangor, semalam kerana disyaki terlibat dalam mengendalikan beberapa laman sosial Facebook yg mempunyai kaitan dengan militan IS di Syria.
Suspek pertama berusia 34 tahun merupakan isteri kepada individu yang telah dituduh di mahkamah pada 11 Nov lalu atas kesalahan menghasut, menggalak atau memperolehi harta bagi perlakuan tindakan keganasan, kata Khalid dalam satu kenyataan, Sabtu.
Pada 11 Nov lalu, seorang perunding kewangan, Rohaimi Abd Rahim, 37, didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, atas pertuduhan mencari harta bagi manfaat kumpulan militan IS melalui laman blog Revolusi Islam.com sejak Mac lalu.
Rohaimi didakwa melakukan perbuatan itu di No.5B, Jalan Raja Ali, Kampung Baru di sini antara 29 Mac hingga 13 Okt lalu.
Manakala suspek kedua, wanita berumur 28 tahun bekerja sebagai pengurus acara di ibu negara.
Suspek ketiga pula, lelaki berusia 33 tahun, bekerja sebagai penolong eksekutif di salah sebuah badan berkanun.
“Kesemua mereka disyaki terlibat mengendalikan beberapa akaun Facebook yg mempunyai kaitan dengan aktiviti kumpulan IS di Syria.
“Selain itu, mereka juga disyaki terlibat kegiatan pengumpulan dana yang mempunyai kaitan dengan penghantaran rakyat Malaysia ke Syria menyertai kumpulan IS,” kata Khalid.
Menurut beliau, mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VI(a), kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau SOSMA 2012, lapor TRP.
0 Komentar untuk "GEMPAR!!!3 lagi rakyat Malaysia ditahan"