SUDAH hampir setahun suaminya berkhidmat di sebuah negara di kutub
utara. Tinggallah Zamira (bukan nama sebenar) bersama tiga anaknya di
ibu kota meneruskan kehidupan seperti biasa. Faktor tidak biasa dengan
cuaca terlalu sejuk membuatkan Zamira memilih membesarkan anak-anak di
negara tercinta sahaja.
Jika sebelum ini dia hanya menjadi suri rumah sepenuh masa, Zamira juga
memilih untuk bekerja bagi menghilangkan rasa bosan di rumah.
Wanita berusia 31 tahun ini akhirnya berjaya mendapatkan pekerjaan
sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan di sebuah syarikat
telekomunikasi.
Anak-anaknya berusia lingkungan lima hingga lapan tahun juga sudah mula
ke sekolah, dek kerana cita-cita tertangguh dahulu, Zamira turut
mendaftarkan diri sebagai pelajar sambilan di sebuah universiti tempatan
mengambil jurusan pentadbiran perniagaan.
Hidup Zamira memang penuh dengan aktiviti, setiap hari Isnin hingga
Jumaat dari jam 8 pagi hingga 7 malam dia akan berada di pejabat.
Bila balik pula dia menguruskan kelengkapan anak-anak untuk ke sekolah
esok hari dan hujung minggu pula Zamira menghadiri kelas menuntut ilmu
di peringkat ijazah.
“Suami memang ada menyarankan saya memenuhi masa supaya saya tidak akan
rasa bosan dan merinduinya. Memang semenjak bercinta kami tidak pernah
berenggang dan langsung tidak pernah berpisah walau untuk sehari.
“Jadi setelah suami ditugaskan ke luar negara sesuatu yg amat sukar
bagi saya melepaskannya. Atas sebab itu saya disuruh suami menyambung
pelajaran dan bekerja supaya ada rakan-rakan yg dapat menghiburkan
hati,” cerita Zamira di awal pertemuan kami.
Mujurlah juga Zamira mempunyai seorang pembantu rumah yg baik hati dan
jujur jadi Zamira tidak mempunyai tekanan memikirkan keadaan rumah dan
anak-anaknya di rumah.
Dek kerana jauh, suami Zamira hanya akan pulang ke tanah air kira-kira
lima bulan sekali. Kerinduan Zamira dan anak-anak pada suami dilepaskan
semata-mata menerusi internet atau panggilan video.
“Hampir setahun suami berkhidmat di sana saya semakin boleh mengadaptasi
kehidupan tanpanya. Kalau dulu saya tidak boleh memandu, kini saya
sudah berjaya memiliki lesen memandu dan suami juga membelikan saya
sebuah kereta mewah semata-mata untuk menggembirakan hati saya yg
berkorban menjaga anak-anak sepanjang peninggalannya ke luar negara.
“Semakin seronok saya bergaya dengan kereta dan kerjaya yg memerlukan
interaksi dengan orang ramai. Hingga pada satu hari saya bertemu dengan
seorang pelanggan lelaki yg berusia dalam 30 tahun. Pada awalnya
hubungan sekadar pelanggan, lama-lama kami berkawan pula. Dia mengajak
saya keluar minum dan tanpa ragu saya menerima pelawaan,” imbas Zamira.
Biarpun sibuk dengan pelbagai aktiviti, Zamira mengakui jiwanya begitu
kosong tanpa teman yg bernama lelaki. Bila semakin lama suaminya di
luar negara, perasaan kebergantungan menjadi semakin nipis dan Zamira
kini sungguh berdikari.
“Walaupun baru dua kali keluar minum dengan Irfan (bukan nama sebenar),
saya tidak mampu menidakkan rasa hati. Saya tahu saya mula sukakannya,
bukan bermakna saya mahu bercerai dengan suami, tapi saya menganggap
Irfan teman di kala sunyi semata-mata dan tidak lebih dari itu.
“Irfan bukanlah jejaka persis hero tempatan tapi bagi saya dia mempunyai
daya tarikan tersendiri. Walaupun dia lebih muda dua tahun dari saya,
kematangannya terserlah. Pengetahuan amnya juga luas, dari perbualan
dengannya saya tahu dia seorang yg kuat membaca.
“Paling saya tertarik dengannya ialah sikapnya yg sungguh mengambil
berat. Satu hari kereta saya rosak, Irfan pantas datang menghulur
bantuan, perasaan saya padanya semakin hari semakin kuat hinggakan saya
lebih banyak berSMS dengannya daripada suami sendiri,” akui Zamira.
Dua bulan berlalu selepas mengenali Irfan, Zamira merasakan kehidupannya
sungguh ceria. Jiwanya rasa seakan gadis yg baru mula mengenali erti
cinta, satu perasaan yg mengujakan Zamira setiap hari dan dia
bersemangat ke pejabat semata-mata untuk makan tengah hari bersama
Irfan.
Tersedar dari khayalan
Kemesraannya dan Irfan menyebabkan Zamira ada terdetik di hati untuk
berkahwin dengan Irfan. Dia mula merancang strategi mencari alasan
berpisah dengan suami. Hinggalah pada satu hari anak sulung Zamira
diserang demam denggi, betapa paniknya Zamira kerana terpaksa
menguruskan anaknya di hospital seorang diri.
“Di hospital melihat begitu ramai orang sakit, sayu pula hati saya.
Makin saya terharu melihat pengorbanan seorang ibu yang menjaga anak dan
suami yg sakit di hospital. Begitu tabah ibu itu yg usianya seakan
kakak saya sahaja. Berkongsi cerita dengan kakak tersebut, umpama
menyedarkan saya daripada khayalan sendiri.
“Ketika itu saya mula mengenang kesilapan diri, betapa jauh saya
terlanjur walau tidaklah sampai berdua-duaan dengan Irfan di tempat
sunyi tapi saya merasa seakan besar beban dosa yg saya tanggung.
“Ketika menjaga anak di hospital, Irfan ada beberapa kali menghubungi
tapi saya tiada hati untuk menjawabnya. Kepada suami saya adukan
kegusaran hati tentang anak yang sakit dan akhirnya saya sedar
kekhilafan diri.
“Saya mengelak berhubung dengan Irfan dan akhirnya saya memilih untuk
berhenti kerja. Saya menukar nombor telefon dan memutuskan hubungan
dengan Irfan walaupun di laman sosial. Sementara menunggu notis
berhenti, anak saya juga semakin sihat dan pembantu rumah saya juga mahu
berhenti kerja kerana akan bernikah.
“Bagaikan satu hikmah yg terbaik disusun yg maha pencipta, saya
akhirnya kembali kepada fitrah seorang isteri. Biarpun sudah berhenti
kerja dan menguruskan rumah tangga saya rasa puas kerana dapat berbakti
untuk suami.
“Suami saya tidak pernah mengetahui tentang apa yg telah terjadi dan
menerima keputusan saya dengan hati terbuka, itulah yg terbaik untuk
kami,” ujarnya mengakhiri bicara.
0 Komentar untuk "Pengakuan Jujur Isteri Yang Tidak Tahan Berjauhan Dengan Suaminya"