“Jangan sebut nama Allah kuat-kuat, nanti saya takut dan tak jadi menyamun kakak.” Itu kata seorang daripada dua penjenayah bertopeng kepada Ramlah Tahir, 53, ketika memecah masuk rumah mangsa yg juga ibu tunggal di Kampung Gelang Chin-Chin di sini, kelmarin.
Menurut Ramlah, seorang daripada dua lelaki yg turut bersenjatakan parang itu meminta dia berhenti menyebut perkataan Allah kerana mendakwa takut selain tahu perbuatannya itu menyalahi ajaran agama.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 pagi, Ramlah berkata, dia terkejut apabila disergah seorang lelaki bertopeng sebaik membuka tingkap bilik tidurnya selepas curiga dengan bunyi bising di kaki lima rumahnya.
“Lelaki itu kemudian cuba masuk dengan mengumpil jeriji besi pintu depan.
Walaupun saya menjerit meminta tolong, tetapi tidak diendahkan mereka,” katanya ditemui di rumahnya, semalam.
Katanya, tanpa disedarinya, pada masa sama, seorang lagi rakan penjenayah sudah memasuki rumah melalui tingkap dapur dan bersembunyi di bawah meja makan.
Menurutnya, tiba-tiba penjenayah itu keluar dari bawah meja makan dan meluru membuka pintu depan bagi membolehkan rakannya masuk ke dalam rumah.
“Pada masa sama, anak perempuan (Norazila Aziz, 22) yg tidur di bilik bersebelahan terjaga selepas mendengar jeritan dan menyangkakan saya diserang asma,” katanya.
Katanya, kedua-dua penyamun kemudian mengarahkan mereka berdua duduk di ruang tamu sambil memberi amaran tidak membuat bising.
“Kami berpelukan kerana ketakutan dan pada masa sama saya tidak putus menyebut Allah hingga seorang daripada penjenayah datang dan mengacukan parang ke leher anak supaya saya berhenti menyebutnya.
“Lelaki itu beritahu jika mahu menyebut ‘Allah’, lakukan dalam hati kerana dia takut mendengarnya selain bimbang tak jadi menyamun dan pulang tangan kosong,” katanya.
Ramlah berkata, pada masa sama, seorang lagi penjenayah menggeledah bilik tidurnya dan mengambil barangan kemas seperti cincin, gelang, rantai leher, satu komputer riba serta tabung syiling dari dalam almari membabitkan kerugian kira-kira RM6,000.
“Selepas menggeledah kira-kira 30 minit, kedua-dua mereka melarikan diri ke dalam belukar berdekatan rumah,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat Deputi Superintendan M Anuar Ismail ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.
0 Komentar untuk "GEMPAR "Jangan Sebut Nama Allah Kuat-kuat Nanti Saya Takut & Tak Jadi Samun Kakak""