KUALA LUMPUR - "Saya diminta pihak polis berhenti berucap kerana saya
dikatakan 'terlalu membuat bising' dalam program hari ini," kata bekas
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau juga tidak mengetahui bahawa Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid
Abu Bakar sudah mengeluarkan arahan supaya membatalkan program tersebut.
"Saya tak tahu arahan dia, saya tak dengar, apa yang saya tahu polis
datang kepada saya, minta saya berhenti (bercakap)," katanya kepada
pemberita selepas Dialog PM bersama NGO dibatalkan secara mengejut di
Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.
Forum anjuran Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (Sukaguam) itu
dibatalkan di saat akhir selepas Ketua Polis Negara menerusi akaun
Twitternya hari ini meminta ia ditangguhkan atas faktor keselamatan.
Walaupun Sukaguam cuba berunding dengan pihak polis, namun forum yang
lebih berkisar kepada penjelasan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB)
itu terpaksa ditunda ke tarikh lain.
Terdahulu, forum tersebut yang dijadualkan berlangsung pada jam 9 pagi
itu diteruskan dengan ucaptama oleh Dr Mahathir selepas Najib tidak
muncul selepas sejam setengah menunggu.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir juga berkata kehadirannya pada forum
tersebut adalah untuk mendengar sendiri penjelasan Najib berhubung
persoalan yang ditimbulkan mengenai beberapa isu termasuk 'kehilangan
dana RM42 bilion' oleh 1MDB.
"Sebab itu saya datang dan minta izin supaya saya juga diberi peluang sama dengan Datuk Seri Najib.
"Kalau dia dapat satu jam, saya juga minta satu jam, kalau dia nak jawab
soalan, saya juga nak jawab soalan, tapi malangnya Datuk Seri Najib tak
dapat datang kerana polis membatalkan perjumpaan ini," ujarnya.
Tambah Dr Mahathir, meskipun beliau dihalang meneruskan ucapan, namun
beliau meminta polis membenarkannya bertemu dengan pihak media.
"Saya patuh kepada undang-undang, tetapi saya minta izin supaya saya dapat bercakap dengan media sahaja," jelasnya.
Ketika ditanya tentang kelantangan beliau telah menakutkan Najib untuk
muncul pada program tersebut, Dr Mahathir bagaimanapun berkata, tiada
apa yang perlu ditakutkan jika Najib boleh beri penjelasan.
"Saya tak boleh mencederakan sesiapa, kenapa perlu orang (Najib) nak
takut dengan saya, kamu (media) pun tak takut pada saya," ujarnya.
Bagaimanapun Dr Mahathir hanya beranggapan ketidakhadiran Najib itu kerana beliau sibuk dengan urusan rasmi kerajaan.
"Kita pun tak tahu (kenapa Najib tak hadir), saya fikir dia sibuk, dia
mesti ada tugas rasmi yang lebih mustahak berbanding jumpa dengan
rakyat," katanya lagi.
0 Komentar untuk "[KISAH BENAR]Tun Mahathir Dedah Punca Sebenar Beliau DIPAKSA Untuk Berhenti Berucap"