malaynews1. Powered by Blogger.

[ISLAM] Hukum Ajak Isteri Menonton Filem 18 Keatas

 

Soalan

Saya nak bertanya, boleh tak mengajak isteri menonton filem lucah untuk tujuan mempelajari tentang cara-cara melakukan hubungan seks. Ini kerana isteri saya tak begitu pandai untuk melakukannya dan ia untuk merangsang nafsunya dahulu sebelum melakukan hubungan kelamin.
Jawapan: Hukumnya haram secara sepakat ulama walaupun niatnya baik. Ia diharamkan kerana:

1. Islam mengharamkan melihat aurat orang lain, terutamanya bahagian sulit. Nabi SAW bersabda: “Janganlah seorang lelaki melihat aurat lelaki yang lain, dan janganlah wanita melihat aurat wanita yang lain”. Sudah tentu apabila melihat filem tersebut, akan dilihat aurat si pelakon tadi malah dalam keadaan yang tidak diizinkan oleh Islam pula.

2. Islam juga tidak berapa menggalakkan si suami melihat kemaluan isteri dan begitu juga sebaliknya, sebagaimana displin seks Islam yang dinyatakan oleh Sayyidatina Aisyah r.a berkenaan hubungannya dengan baginda SAW. (Hadith ini adalah lemah, bagaimanapun ia dikira sebagai adab sahaja berdasarkan umum dalil-dalil lain). Jika demikian hukumnya, maka sudah tentu melihat kemaluan selain pasangan yang halal di dalam filem lucah lebih lagi ditegah oleh Islam.

3. Terdapat cara lain untuk mempelajarinya, iaitu dengan membeli buku panduan seks dalam Islam yang melakarkan gambar-gambar lukisan sahaja.

4. Filem-filem ini sudah tentu dilakonkan oleh orang bukan Islam serta sudah tentu menjalani hubungan seksual tidak menurut displin Islam dalam hubungan seks. Termasuklah melakukan seks secara yang diharamkan oleh Islam. Justeru, meniru teknik yang diharamkan sudah tentu diharamkan juga.
Sebagai contoh, Islam tidak menggalakkan suami isteri bersama dalam keadaan telanjang bogel sebagaimana disebutkan sebagai salah satu displin adab melalui hadith :-

إذا جامع أحدكم أهله فلا يتجرد تجرد العيرين

Ertinya : “Apa seorang kamu ‘bersama’ isterinya maka janganlah kamu bertelanjang bogel ( bermakna perlu berselimut)” (Riwayat Ibnu Majah 1/619 no 1921)

Demikian juga displin dan adab-adab lain seperti berdoa sebelum bersama, tidak mendatangi isteri dari duburnya, tiada oral seks, berwudhu jika ingin bersama kali kedua sebelum mandi dan banyak lagi adab dan hukum Islam yang tidak akan dapat dipelajari dari filem lucah itu. (Nizom al-Usrah, Dr Md Uqlah, 2/16-17)

5. Dibimbangi si suami atau isteri akan terbayangkan pasangan pelakon di dalam filem lucah tersebut. Maka ia jatuh ke dalam perkara haram yang lain pula.

6. Nabi melarang menceritakan perihal sulit aurat orang lain, apatah lagi melihatnya di dalam video seperti ini.

Nabi SAW bersabda :

لا تباشر المرأة المرأة فتنعتها لزوجها كأنه ينظر إليها

Ertinya : Janganlah seorang wanita melihat aurat wanita lain, lalu menceritakannya kepada suaminya sehingga seperti (suaminya) melihatnya. ( Riwayat Al-Bukhari )

Kesimpulannya, diharamkan menggunakan filem lucah samada untuk menaikkan syahwat suami isteri mahupun sebagai pengajian.

Oleh: Ustaz Zaharuddin
 



Tag : Hukum, Islam
0 Komentar untuk "[ISLAM] Hukum Ajak Isteri Menonton Filem 18 Keatas"
Back To Top