Abdul Rahim Alin, 42, merupakan antara dua orang penduduk yang paling awal tiba di lokasi nahas beberapa minit selepas helikopter jenis S365 milik IGB Corporation terhempas. - Foto TRP/Zaini Hardy
SEMENYIH, 5 April:
Seorang penduduk Kampung Sungai Pening-Pening di sini yang merupakan penduduk tempatan pertama tiba di lokasi nahas helikopter melibatkan enam penumpang semalam memberitahu, kejadian yang berlaku itu dianggap sebagai satu insiden paling tragis yang dilihat sepanjang hidupnya.
Abdul Rahim Alin, 42, merupakan antara dua orang penduduk yang paling awal tiba di lokasi nahas beberapa minit selepas helikopter jenis S365 milik IGB Corporation terhempas.
Menceritakan mengenai pengalamannya itu, Rahim memberitahu dia mengetahui tentang insiden tersebut selepas terdengar bunyi siren dari sebuah jentera bomba yang lalu di hadapan rumahnya.
Katanya, dia yang curiga dengan kehadiran jentera bomba itu kemudian bergegas keluar dari rumah dan mengejar jentera tersebut dengan menggunakan motosikal bersama dengan rakan yang kebetulan berada di rumahnya.
“Saya memang ada terdengar bunyi letupan tetapi, bunyinya agak jauh dari rumah saya.
“Saya menjangkakan ada rumah jiran terbakar tetapi saya hairan mengapa jentera bomba tidak berhenti dan terus menuju ke kawasan kebun kelapa sawit milik seorang penduduk di sini.
“Saya ingat anggota bomba itu telah tersesat. Tiba-tiba saya nampak asap hitam berkepul-kepul di udara yang datangnya dari dalam kawasan kebun kelapa sawit itu,” katanya kepada The Rakyat Post malam tadi.
Tambah Rahim lagi, dia dan rakannya itu kemudian meninggalkan motosikal yang dinaiki dan meluru masuk ke dalam kebun tersebut untuk mengetahui apa yang berlaku.
Katanya, sampai saja di lokasi nahas yang jaraknya lebih kurang 50 meter dari tempat dia meletakkan motosikalnya, dia dan rakannya mendapati sebuah helikopter sedang terbakar dan beberapa cebisan bangkai pesawat itu bertaburan di merata tempat.
Jelasnya, apa yang paling tidak sanggup untuk dilihat apabila dia terpandang satu mayat yang terbakar dan masih berasap di atas tanah bersebelahan bangkai helikopter yang sedang terbakar itu.
Katanya lagi, pada peringkat awal dia ada membantu anggota bomba yang mahu memadamkan api pada bangkai helikopter tersebut namun dia kemudian diarahkan supaya beredar dari kawasan itu.
“Saya terbau mayat manusia terbakar dan apa yang saya lihat itu mungkin tidak akan dapat dilupakan.
“Ini adalah kejadian pertama seumpama itu berlaku di kampung ini sejak saya tinggal di sini lebih 42 tahun lalu,” ujarnya.
Semalam, helikopter jenis S365 milik IGB Corporation, yang membawa enam orang termasuk juruterbangnya, dan Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Tan Sri Jamaluddin Jarjis serta Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias, terhempas di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih dekat sini pada 4.55 petang.
sumber
sumber
0 Komentar untuk "Nahas Helikopter:Bau Mayat Manusia Terbakar Semakin Kuat"