NAMA Ayda Jebat dahulunya pernah ‘meletup’ seketika dek kerana lakonannya menerusi drama bersiri Rindu Awak 200% yang pernah disiarkan menerusi salah sebuah televisyen swasta sekitar bulan Julai 2014 lalu.
Biarpun pada asalnya bakat Ayda telah dicungkil menerusi program realiti terkenal Akademi Fantasia musim ke-9 (AF9), dia menyahut tawaran pengarah Aidilfitri Mohamed Yunos untuk berlakon sebagai heroin dan bergandingan bersama dengan aktor kacak, Zul Ariffin.
Namun, sebaik sahaja drama sebanyak 28 episod itu menutup tirai, namanya kian berlalu sepi.
Adakah penonton sekarang hanya meminati pelakon berdasarkan rating tinggi sesebuah drama atau sebaliknya?
Berbicara akan hal tersebut, Ayda yg ditemui pada sidang media bagi Pencarian Wajah Aurawhite baru-baru ini, menjelaskan bahawa dirinya masih lagi ada dalam industri dan kian ligat menerima tawaran lakonan biarpun drama Rindu Awak 200% sudah berakhir.
“Alhamdulillah peminat saya masih ada lagi. Kalau lihat dalam Instagram pun masih lagi mereka memberi sokongan dalam kerjaya lakonan saya.
“Saya tidak merasakan tahap populariti saya hanya bersifat sementara sahaja hanya kerana drama Rindu Awak 200% sudah habis ditayangkan,” katanya memulakan bicara.
Malah, ujar Ayda lagi,dia begitu terharu dengan sokongan yg tidak pernah putus diberikan oleh peminat setianya hinggakan pada satu masa, ada peminatnya yg sanggup datang dari jauh untuk bertemu dengan dirinya.
“Baru-baru ini saya ada hadiri satu majlis di Kelantan dan Terengganu, ada peminat yang sanggup turun dari Kuala Lumpur hanya semata-mata untuk berjumpa dengan saya.
“Itulah antara perkara yang buatkan saya sungguh terharu dan saya tahu saya masih lagi ada peminat yang setia menyokong perjalanan kerjaya saya. Semangat mereka yang sanggup datang jauh itulah yang membuatkan saya sayang mereka,” katanya.
Jelas Ayda lagi, dia tidak kisah jika perlu melayan peminat kerana semua itu dilakukan dengan penuh ikhlas, malah dia juga mudah mengingati nama peminat yang pernah berjumpa dengannya dan itulah antara sebab mengapa peminatnya masih lagi setia.
“Saya senang jika orang berbuat baik dengan kita dan pasti saya akan memberi balasan yang baik juga. Sebagai satu caranya, saya akan memuat naik setiap acara atau program yang akan saya sertai di laman sosial Instagram beberapa hari sebelum majlis bermula.
"Kemudian pasti akan ada peminat yang komen untuk menyatakan kesediaan mereka untuk datang sebagai tanda sokongan kepada saya."
"Apabila saya dan peminat bertemu saya pasti akan menyebut nama mereka dan berserta nama Instagram. Mereka akan rasa lebih dihargai apabila saya ingat nama mereka," katanya dengan nada teruja.
0 Komentar untuk "CUN!!!Penampilan Terbaru Ayda Jebat"