malaynews1. Powered by Blogger.

ARTIS Ummi Nazeera mencari diri



UMMI NAZEERA tenang mengatur langkah. Sambil membetulkan kedudukannya, pelakon filem Hikayat Merong Mahawangsa itu menguntum senyum. Diajukan soalan sulung pada pertemuan petang Rabu lalu sempena majlis meraikan calon lima terbaik Festival Filem Malaysia ke-26 (FFM26) mengenai proses penghijrahannya, dahinya berkerut tanda dia mendengar dengan serius sebelum membuka bicara.

"Segalanya bermula pada hujung tahun lalu, seminggu sebelum peperiksaan akhir di universiti saya, Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT) di Melbourne, Australia.

"Ketika itu berlaku sedikit perselisihan faham dengan beberapa teman rapat saya di sana hingga membuatkan jiwa ini sangat kosong.

"Terdetik pada waktu itu saya masih ada Allah yg tidak pernah menjauh dari saya dan hanya Dia satu-satunya yg ada ketika tiada sesiapa di sekeliling saya.

"Sepanjang malam saya menangis dan perlahan-lahan saya mula bertudung dan mendalami ilmu agama Islam. Saya cuba mengukuhkan tiang agama saya dengan mendirikan solat lima waktu dan senjata paling kuat yg saya ada ketika itu adalah doa," jelasnya pada pertemuan singkat di Hotel Istana, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bebas

Meneruskan bicara kata Ummi, 24, selepas mula berhijab dia berdepan satu perasaan yg berolak-olak dan berombak dalam relung hatinya. Tidak terbendung hingga kadangkala membuatkan air matanya sendiri mengalir.

"Pada mula saya bertudung, saya bergelut melawan perasaan saya sendiri sampaikan hampir setiap malam saya menangis.

"Apabila saya berhijrah ke Melbourne, Allah tidak pernah 'menampar' 'saya malah diberikan pula kebebasan kepada saya.

"Jauh daripada keluarga dan beroleh kebebasan yg saya mahukan selama ini akhirnya menemukan saya dengan perasaan serba kosong dan memaksa saya mencari agama saya, Islam.


HATI Ummi Nazeera kini terbuka untuk cinta tetapi seboleh-bolehnya dia mengelak bercinta dengan sesiapa buat masa ini kerana mahu memperbaiki diri terlebih dahulu.

"Yang menguatkan kembali emosi dan jiwa saya hanya bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Saya belajar untuk mengaji dan semakin hari dalaman saya secara semula jadinya mahu belajar banyak perkara yg selama ini saya terlalai dan leka. Sungguh indah Islam itu," sambung Ummi lagi.

Batasan

Mengakui hasrat untuk berhijab sebenarnya sudah lama terdetik dalam hatinya, kata empunya nama penuh Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abadin, ada masa dia merasakan komitmen dalam industri hiburan mengehadkan matlamatnya.

"Saya risau apabila bertudung nanti saya akan terbatas dan tidak banyak watak yg boleh saya bawa, tapi kerisauan itu tidak sebesar nikmat dan rezeki yg Allah anugerahkan selepas saya berhijab.

"Syukur Alhamdulillah, tawaran berlakon masih ada cuma saya yg terlalu selektif dalam pemilihan naskhah dan watak.

"Sebenarnya memang dari dahulu lagi pun saya sangat menitik beratkan mengenai komitmen dalam berlakon kerana saya akan memberikan sepenuh jiwa apabila berada di depan kamera.

"Insya-Allah, jika ada karakter dan skrip yang bagus dan kena dengan jiwa saya, pasti saya terima," ujarnya yang menyasarkan untuk berlakon dalam filem berkonsepkan kemanusiaan.

Usai tamat pengajiannya di RMIT dalam jurusan Sarjana Muda Perniagaan bulan Disember tahun lalu, Ummi kini memberikan khidmat sepenuhnya di syarikat keluarganya, Pointray (Malaysia) Sdn. Bhd.


PERUBAHAN imejnya banyak membawa kepada perjalanan hidup yg serba baharu.

Lari media

Sementara itu, Ummi menjelaskan tindakannya yg dianggap melarikan diri daripada media sebenarnya kerana khuatir kondisi peribadinya terjejas apabila mula berkongsi cerita kepada masyarakat.

"Saya masih baru berhijab ketika itu, dalaman saya masih lemah dan memang saya terpaksa mengelak daripada berjumpa media atau berkongsi cerita kepada orang ramai.

"Bimbang tindakan itu membuatkan diri saya menjadi riak. Perkara itu membuatkan saya cuba mengelak hingga akhirnya pada bulan Mei saya memberanikan diri untuk berkongsi kisah peribadi ini," ujarnya.

Ummi diusik pertanyaan mengenai kisah hati, barangkali kini dia sedang melalui fasa cinta baharu setelah kisah silamnya memberikan tamparan hebat buat anak jati Kuala Lumpur itu.

"Saya buka hati saya tapi harus pandai memilih yg betul-betul sesuai, bukannya terima sesiapa saja bulat-bulat. Saya tidak mahu bercinta lagi kalau boleh, prioriti sekarang adalah mengubah dan memperbaiki diri saya sebelum menguruskan hal rumah tangga," tegasnya.



Lima terbaik

Menerusi FFM26 tahun ini, Ummi tersenarai antara lima finalis Pelakon Wanita Terbaik menerusi watak Murni dalam filem Penanggal arahan Ellie Suriaty.

Mengakui terdetik perasaan segan menonton kembali lakonannya terdahulu, kata Ummi tindakan terbaik yg mampu dilakukannya kini adalah mengawal diri sendiri.

"Saya dicalonkan untuk watak saya yg belum bertudung, orang tidak akan bercakap apa-apa kerana perkara itu sudah lepas. Perasaan segan itu memang ada.

"Yang lepas biarkan berlalu, apa yg boleh saya kawal sekarang saya akan lakukannya dan menjaga sebaik mungkin perkara yg melibatkan imej dan maruah saya.

"Alhamdulillah, saya dicalonkan untuk watak yg sangat menguji mental dan fizikal saya. Hampir setiap hari saya menangis kerana terlalu penat hingga tenaga saya hampir lumpuh sepenuhnya. Saya gembira dan berterima kasih kerana hasil kerja kami dihargai," simpulnya.


 

Tag : mencari, Nazeera
0 Komentar untuk "ARTIS Ummi Nazeera mencari diri"
Back To Top