MULA melangkah dalam industri seni sebagai pelakon, namun keputusan untuk berhijrah tiga tahun lalu, mengubah cabang kerjaya seninya. Malah, penghijrahan dan imej Muslimah pemilik nama sebenar, Nurdiyana Amir Hashim, ini membawa kepada peluang baharu dalam bidang pengacaraan.
Walaupun sibuk dengan pelbagai aktiviti termasuk pengacaraan, motivasi dan menulis, namun Diana Amir tetap merindui dunia lakonan. Malah, pelakon filem Salam Cinta, ini pernah memberitahu bahawa sekiranya ada tawaran lakonan yg bersesuaian dengan watak dan masa, dia akan menerimanya.
Setelah sekian lama menunggu untuk kembali aktif di lokasi penggambaran, akhirnya tahun ini penantian itu membuahkan hasil.
Diberi peranan menggalas watak utama menerusi drama bersiri untuk slot Zehra, Cinta Ilahi, isteri kepada Mohd Habibbullah A Rahman, ini menyifatkan ianya sebagai rezeki anak.
"Alhamdulillah, kini saya sedang menjalani penggambaran drama bersiri ini sehingga hujung September. Sebelum ini, ada juga berlakon, cuma bukan selalu.
"Bidang pengacaraan banyak membantu saya untuk selesakan diri di hadapan kamera. Saya menganggap drama ini sebagai rezeki anak setelah lama tidak diberi peranan utama," katanya yg sedang hamil empat bulan.
Tambah Diana, dalam drama berkenaan, dia memegang watak sebagai Maryam dan bergandingan bersama pelakon, Johan As'ari.
Dalam drama ini, Diana memberitahu, Maryam seorang yg sangat lemah lembut, pandai mengaji, mengajar di surau, tinggi ilmu agama dan pelajar jurusan undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
Teruja anak kembar
Walaupun sedang berbadan dua, Diana bersyukur kerana tidak mengalami alahan yg teruk ketika menjayakan drama tersebut. "Alhamdulillah, alahan tak teruk sangat. Masa penggambaran, saya aktif dan bila dah habis 'shoot' baharu rasa penat sangat badan.
"Suami tiada masalah untuk saya kembali berlakon, namun kerisauan itu tetap ada. Namun, saya bersyukur kerana dia faham saya tak pandai duduk diam.
"Insya-Allah, bila kandungan mencecah usia lima bulan nanti, saya akan berehat. Lagipun, buat masa sekarang, tugas saya hanya di set drama sahaja," katanya pengacara program bual bicara SIS dan dokumentari, Titian Ombak ini.
Tambah Diana, dia dan suami tidak kisah mengenai jantina anak asalkan sihat dan cukup sifat. Namun, tetap ada keterujaan untuk memiliki bayi kembar.
"Kami tidak kisah sangat lelaki atau perempuan. Tapi, memandangkan suami ada kembar, jadi keluarga kami agak teruja jika saya melahirkan anak kembar," katanya lagi.
Berbicara mengenai aktiviti perniagaan, Diana kini sedang sibuk mempromosikan jubah-jubah yang direka sendiri untuk kolaborasi bersama Leanen.
"Koleksi itu kini dijual di Women of Jannah di pusat membeli belah, The Curve. Selain itu, kami turut menjual secara online.
"Untuk perniagaan hijab, Diana Amir Exlusive (DA'e), pula, sambutan sangat menggalakkan, tetapi jumlah yang saya keluarkan 'limited'.
"Buat masa sekarang, saya sedang 'renew' stok. Malah, bukan sahaja di seluruh Malaysia, kerja-kerja mengepos turut dilakukan di Singapura dan Brunei. malah ada juga 'client' dari United Kingdom," katanya lagi.
0 Komentar untuk "ARTIS Rezeki Diana Amir"