
UQASHA menegaskan hijab menjadi pelengkap hidupnya.
SEBETULNYA masih ada banyak kisah menarik yg belum pernah dikongsikan pemilik nama Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen.
Berkisar cerita lebaran, penghijrahan mahupun isi hati. Dalam rangka jadual kerja yg sangat sibuk, Uqasha membenarkan sedikit ruang masanya diketuk Kosmo! untuk sebuah sesi fotografi dan temu bual.
Membuka bicaranya, Uqasha, 22, teruja berkongsi cerita dan persiapan menyambut Aidilfitri tahun ini.
Sebagai individu yg sudah berhijab, perasaan meraikan lebaran bersama keluarga tahun ini dicuit sekelumit rasa keinsafan.
"Suci fitrah mendalam maknanya, hadirnya perasaan untuk bersederhana dalam setiap perilaku dan menyisihkan segala titik hitam yg lampau antara erti yg boleh saya kongsikan.
"Seboleh-bolehnya saya mahu keluar daripada segala lingkaran kontroversi dan kisah yg tidak enak mengenai diri saya.
"Tambah pula selepas berhijab saya masih mencari-cari kedamaian dalaman yg selama ini saya sukar temui.
"Aidilfitri bulan kemaafan dan menyucikan hati. Alhamdulillah saya dipertemukan lagi dengan dua bulan penuh keberkatan tahun ini, Ramadan dan Syawal," ulas Uqasha mengukir sekuntum senyum manis.
Mula bertudung
Uqasha membenarkan cerita hijrahnya dibuka kembali. Biar cerita itu sudah berlalu sepurnama, Uqasha tidak melihat cerita itu patut menjadi pokok bicara secara universal kerana itu urusannya dengan Allah.
"Terdetik hati saya untuk memakai tudung kerana mahu menjadi seseorang yg lebih baik dan sejak bulan Januari tahun ini, saya mendapat satu alamat kuat daripada Allah untuk saya menutup aurat dan mendalami erti sebenar wanita muslim.
"Saya mula diberikan watak bertudung dan lama-kelamaan, saya menjadi selesa. Hati terbuka untuk memakai tudung walau saya mengambil masa yg lama untuk memikirkan sedalam-dalamnya keputusan ini.
"Dilemanya, kerana saya berada dalam bidang hiburan dan masih baharu. Namun bagi saya, ini satu kewajipan malah setiap perkara baik itu bersifat terpaksa. Lama-kelamaan, perasaan itu makin kuat dan dekat di hati saya," jelasnya.
Titik perubahan Uqasha bermula ketika penggambaran drama bersiri Kalau Itu Jodoh Kita di Gold Coast, Australia.
Sepulangnya dari penggambaran bersama pelakon lain antaranya, Anzalna, Qi Razali dan Pekin Ibrahim, Uqasha kian selesa dan sentiasa mengenakan hijab setiap kali keluar dari rumah. Kata Uqasha, hijab menjadi pelengkap hidupnya.
Jangan menghukum
Bekas pramugari syarikat penerbangan tambang murah itu memberitahu, keluarganya terkejut dengan perubahannya dan sentiasa berdoa agar dia istiqamah dengan keputusan dan tindakan yg telah dia sendiri putuskan itu.
Ditebak persoalan mengenai kesesuaian watak dan syarat yg diletakkan selepas dia berhijab, kata Uqasha ringkas kualiti itu bukan dinilai berdasarkan penampilan.
"Saya tidak hadkan diri saya untuk watak protagonis semata-mata sejak saya mula bertudung, tapi andai ada peranan hitam yg perlu saya lakonkan biarlah berpada-pada dan tidak keterlaluan dengan imej saya sekarang," tegasnya.
Skeptikal sesetengah masyarakat hingga menghukum sesetengah artis yg memilih untuk berhijrah kerana mengikut trend terkini, Uqasha memberikan reaksi terhadap perkara itu.
"Sama sekali saya tidak bersetuju mengenai pandangan tersebut kerana bertudung dan menutup aurat merupakan satu kewajipan setiap wanita beragama Islam. Alhamdulillah, selepas berhijab saya rasa tenang dan terjaga," ujarnya.
Jejaka patuh agama
Uqasha masih bertatih, pintanya agar semua pihak menghormati keputusannya untuk berhijab dan tidak meletakkan penilaian atau ekspektasi luar jangka.
"Mungkin ada bahagian tertentu saya masih kurang, saya masih belajar dan sedang berusaha untuk menjadi insan yg terpelihara daripada anasir tidak baik. Beri saya peluang," getusnya yang masih belajar aspek berpakaian yg sempurna.
Pernah beberapa kali melalui episod duka dalam perhubungan, Uqasha menjelaskan, dia tidak pernah menyimpan sebarang dendam dengan individu yg sebelum ini pernah mengisi sebelah jiwa dan hatinya.
"Saya tidak simpan dendam. Kalau sudah tertulis bukan jodoh saya, apa yang boleh saya lakukan. Banyak yg saya pelajari daripada kegagalan perhubungan sebelum ini.
"Saya belajar untuk menyayangi diri sendiri dulu sebelum sayang orang lain dan saya mengakui, ada antaranya tercetus kerana silap saya sendiri.
"Hasrat hati saya untuk memperbaiki diri terus berjalan ke hadapan," tambahnya yg mahukan lelaki yg mempunyai asas ajaran agama Islam.
Balik Kelantan
Beralih kisah ke lembaran Aidilfitri, cerita Uqasha penuh teruja, dia sekeluarga meraikan kemuliaan lebaran di kampung keluarganya di Kelantan.
Kongsi Uqasha, keseronokan menyambut Aidilfitri di sana sangat meriah dan di kampung halaman itu juga tersimpan sejuta memori ketika zaman kecilnya bersama adik-beradik.
"Kami sekeluarga memandu untuk pulang ke Kelantan tahun ini, di sana semua berhimpun beramai-ramai tahun ini.
"Cuma tahun ini, raya saya kurang bermakna setelah nenek saya, Fatimah Jusoh meninggal dunia tahun lalu dan suasana kampung juga tidak serancak tahun-tahun sudah," katanya.
0 Komentar untuk "CUN Uqasha, hijab dan Aidilfitri"