Kemunculan penyanyi Adira dengan imej bertudung dalam satu program di Wangsa Melawati baru-baru ini menimbulkan tanda tanya
sama ada itu adalah penampilan terbaharunya atau sekadar sementara.Bagaimana pun Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 22, berkata, penampilan bertudung itu sebenarnya ketika dia menghadiri kelas agama di bawah program Usrah Fitrah.
Katanya, dia mengikut kelas agama itu selepas dicadangkan oleh rakan artis, Heliza Helmi.
"Sewaktu kami mengadakan persembahan di Perlis baru-baru ini, Heliza ada bercerita dan saya tidak sabar untuk datang ke kelas ini.
"Alhamdulillah, kawan-kawan yang sudah mengikuti kelas ini banyak membantu. Lagipun adalah menjadi kewajipan setiap insan untuk mendalami ilmu agama," katanya kepada Utusan Online.
Penyanyi yang popular dengan lagu Ombak Rindu bersama Hafiz itu berkata, walaupun dia bertudung ketika menghadiri kelas agama, itu tidak bermakna dia akan terus bertudung.
Jelas Adira, untuk tempoh ini dia lebih senang tampil dengan imej sedia ada dan apabila tiba masanya, dia juga akan mengenakan tudung seperti yang dituntut oleh agama Islam.
"Ya, saya pakai tudung ketika menghadiri kelas agama ini, di luar saya seperti biasa. Insya-Allah, bila sampai masanya saya juga akan bertudung tanpa dipinta oleh sesiapa.
"Sekarang ini saya ingin mendekatkan diri dengan ilmu agama sebagai pelengkap hidup. Di waktu yang sama, saya tetap meneruskan kegiatan dalam bidang seni kerana itu adalah sumber pendapatan saya," katanya yang kini aktif berlakon.
Dia yang pernah dikaitkan bercinta dengan Hafiz dan Aliff Aziz berkata, buat masa sekarang tumpuannya ialah pada kerjaya berbanding soal cinta.
Sumber
0 Komentar untuk "Gambar Cute Adira Memakai Tudung "