
RAJAGOBAL...tumpu persiapan kelayakan Piala Asia 2015.
KEGAGALAN mempertahankan kejuaraan Piala AFF 2012 belum cukup untuk
menggugat kedudukan Datuk K Rajagobal selaku ketua jurulatih kebangsaan
apabila beliau terus diberi mandat membimbing skuad Harimau Malaya bagi
mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2015 bermula Februari.
Perkara ini diputuskan pada satu mesyuarat yang dipengerusi Presiden
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah bersama
Setiausaha Agung, Datuk Azzuddin Ahmad dan pengurus pasukan kebangsaan,
Datuk Seri Subahan Kamal.
“Satu mesyuarat sudah dijalankan pagi tadi (semalam) dan hasil daripada
mesyuarat itu, Rajagobal dikekalkan hingga kontraknya tamat Disember
2013. Ini satu berita gembira untuk pasukan kebangsaan,” menurut sumber
dalaman FAM.
Keputusan yang dicapai itu sekali gus melenyapkan spekulasi mengenai
pemecatan Rajagobal, 56, selepas kredibilitinya dipertikai ramai pihak
berikutan kegagalan skuad kebangsaan mara ke final Piala AFF apabila
tumpas dengan agregat 1-3 di tangan Thailand pada separuh akhir minggu
lalu.
Kegagalan itu menimbulkan rasa tidak puas hati peminat tempatan
memandangkan prestasi Harimau Malaya tampak merosot dalam tempoh dua
tahun selepas bergelar juara Asia Tenggara apabila tersingkir di
pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 dan juga ranking yang jatuh
merundum.
Ada pihak menyarankan agar tugas membimbing Harimau Malaya diserahkan
kepada jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee namun dengan keputusan
yang dibuat dalam mesyuarat yang dirahsiakan pihak FAM itu semalam, ia
sekali gus menjawab segala persoalan berhubung kedudukan Rajagobal.
Difahamkan keputusan FAM itu didorong faktor kejayaan lampau Rajagobal
yang membantu Malaysia menamatkan penantian 20 tahun negara dengan
memenangi pingat emas Sukan Sea Laos dan kejuaraan pertama Piala AFF
2010 di Jakarta.
Malah bagi badan induk bola sepak tanah air itu, kekalahan kepada
pasukan hebat seperti Thailand bukanlah satu kegagalan, tambahan pula
dengan masalah kecederaan pemain yang dihadapi Rajagobal pada perlawanan
itu.
Subahan yang juga Naib Presiden FAM sebelum ini secara terbuka
menyatakan sokongan kepada Rajagobal untuk terus mengendalikan skuad
kebangsaan meskipun misi melayakkan diri ke Piala Asia 2015 di Australia
dilihat lebih sukar berbanding mempertahankan kejuaraan Asia Tenggara
ini.
Malaysia akan memulakan kempen kelayakan Piala Asia menentang Qatar pada
6 Februari sebelum bertemu Yaman dan Bahrain dalam saingan Kumpulan D.
Tag :
Sukan
0 Komentar untuk "Raja ‘saintis’ Undur Diri Kuatkuasa Serta Merta??! "