KITA biasa dengar atau baca cerita pengemis yang kaya, menginap di hotel atau dijemput dengan kereta selepas minta sedekah di kaki lima
Namun satu kisah benar yang dibongkar di sebuah rumah kebajikan di Marang, Terengganu, seharusnya membuka mata semua pihak.
Seorang penghuni rumah kebajikan itu (nama dirahsiakan) yang sering curi keluar untuk mengemis, didapati menyimpan wang tunai lebih kurang RM15,000 di bawah katilnya selain mempunyai tiga akaun bank berasingan dengan nilai simpanan RM60,000.
Ini semua ditemui selepas dia meninggal dunia kira-kira sebulan lalu.
Jadi, cerita pengemis kaya di negara kita bukan hanya kisah dongeng atau cerita mulut ke mulut, sebaliknya suatu realiti yang menuntut kita bersama-sama berfikir, bagaimana ini boleh terjadi?
Bukan kita mahu menghalang orang daripada membuat kebajikan, namun manipulasi dalam kegiatan mengemis ini bukan cerita baru.
Dengan adanya pengemis yang kaya, kita tidak mahu negara bertuah ini dianggap sebagai negara yang kaya dengan pengemis.
Lihat sahaja di mana-mana, pengemis sekarang bukan sahaja berwajah tempatan, malah ada juga yang ‘diimport’.
Ini terjadi kerana dalam keadaan kita dihadap dengan pelbagai cerita hal pengemis, masih ramai mahu berbaik sangka dengan alasan “saya ikhlas mahu buat kebajikan. Soal mereka menipu, itu antara mereka dengan ALLAH.”
Ya, memang benar namun sama ada kita sedar atau tidak, sikap mudah percaya dan tidak usul periksa juga menggalakkan lagi bilangan pengemis yang sekali gus menimbulkan banyak masalah dalam masyarakat kita.
Kita bukan tidak pernah dengar mengenai sindiket yang mengaut kekayaan dengan cara mudah memperalatkan golongan kurang upaya untuk meminta sedekah bagi pihak mereka.
Apabila kita memberi sumbangan kepada golongan ini, kita bukan membantu mereka tetapi menggalakkan lagi penganiayaan terhadap golongan ini kerana hasilnya bukan kepada mereka tetapi kepada pihak sindiket. Ada laporan bahawa sindiket yang tidak berperikemanusiaan ini malah tergamak mencederakan atau merosakkan anggota tubuh pengemis yang diperalatkan bagi memudahkan lagi mereka mendapat simpati.
Itu belum termasuk kumpulan memperalatkan kanak-kanak, berselindung di sebalik penjualan produk, si celik yang kononnya membantu si buta menjual tisu atau penanda buku, walhal tujuannya tidak lain tidak bukan adalah untuk berkongsi hasil.
Tidak kurang juga kehadiran pengemis dalam masyarakat kita ada yang berakhir dengan jenayah seperti ragut atau samun.
Soalnya, kita bukan mahu menghalang orang membuat kebajikan atau membantu mereka yang benar-benar memerlukan.
Namun hakikatnya di negara kita, untuk golongan kurang bernasib baik ini, mereka dilindungi dengan sebaik mungkin oleh kerajaan di bawah undang-undang yang khusus untuk melindungi hak dan kepentingan mereka, Akta Orang Papa 1997 (Akta 183).
Selain itu, terdapat agensi yang khusus untuk membantu mereka seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menyediakan bukan sahaja perlindungan malahan kursus kemahiran bagi membantu golongan kurang upaya menjana pendapatan sendiri, rumah perlindungan bagi warga emas untuk mengelak mereka jadi kutu rayau dan sebagainya.
Di negeri-negeri, peruntukan bawah bidang kuasa agensi pungutan zakat juga terbuka luas untuk golongan ini.
Kerana itu, berhadapan dengan golongan pengemis, tidak kira apa modus operandi, mereka harus dicurigai.
Jika tidak, memberi sumbangan kepada mereka yang kita anggap sebagai sumbangan kebajikan, sebenarnya ia juga sumbangan untuk meningkatkan lagi masalah sosial dalam masyarakat kita.
Sumber
Tag :
Informasi,
Isu Semasa
0 Komentar untuk "Pengemis Kaya Bukan Dongeng "