KOTA BHARU 27 Jun - Wajahnya cengkung manakala seluruh badannya lebam
dan dipenuhi parut. Kepalanya luka terkoyak manakala belakangnya pula
membongkok, dipercayai kesan daripada patah tulang belakang, rusuk serta
paha akibat tidak dirawat sempurna.
Itu keadaan fizikal Nur Zuliana Zaara Zulkifli, 5, setelah dipelihara
bapa kandung dan ibu tirinya di Taman Rantau Mas, Rantau Panjang, Pasir
Mas sejak dua tahun lalu.
Selain itu, sikap Nur Zuliana Zaara atau nama timangan Yaya juga
bertukar menjadi pasif, pendiam dan antisosial, jauh berbeza berbanding
perwatakan asalnya yang aktif.
“Ketika melihat keadaan Yaya yang serba daif, hancur luluh hati saya.
Bayangkan, saya sendiri sudah tidak cam itu anak saya,” rintih ibu
kandung kanak-kanak itu, Sana Abdul Malek ketika ditemui di Hospital
Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini hari ini.
Sana, 28, mendakwa, ketika mahu bercerai pada 2013, bekas suaminya
meletakkan syarat mahu menjaga Nur Zuliana Zaara yang merupakan anak
tunggal mereka.
Sejak itu katanya, dia hanya berpeluang bertemu Nur Zuliana Zaara
sebanyak lima kali dengan kali terakhir pada Hari Raya Aidilfitri tahun
lalu.
Kemudian, lelaki itu berkahwin lain dan sejak itu, dia tidak lagi dibenarkan bertemu anaknya.
“Apabila menelefon bertanyakan khabar, bekas suami kata Yaya tidak mahu
bercakap atau berjumpa dengan saya. Yaya sekarang seronok sebab dapat
ibu baru.
“Memandangkan kami masing-masing sudah berkahwin lain dan mempunyai
kehidupan baharu, saya tidak mengesyaki apa-apa yang buruk. Lebih-lebih
lagi bekas suami memberi jaminan Yaya kini dijaga dengan baik,” kata
Sana.
Bagaimanapun kata Sana, Rabu lalu, ibu tiri mangsa yang berusia 20-an
menghubunginya dan memberitahu pasangan itu tidak mahu lagi menjaga Nur
Zuliana Zaara.
“Mereka mahu menyerahkan hak penjagaan sepenuhnya kepada saya. Ketika
menyerahkan Yaya, bekas suami dan isterinya itu tidak bersemuka dengan
saya. Mereka menggunakan jiran sebagai orang tengah.
“Hati saya mula tidak sedap sebaik sahaja melihat Yaya dalam keadaan
lemah, berjalan bongkok dan kurus kering. Dia juga enggan bercakap,”
katanya.
Sana berkata, semasa tiba di rumah, dia membuka baju dan terkejut
melihat badan Yaya penuh dengan kesan lebam, parut dan luka di
sana-sini.
“Kepalanya juga terkoyak. Apabila ditanya, dia cuma beritahu ‘Mummy’
cubit. Itu sahaja,” katanya yang segera membuat laporan di Balai Polis
Pasir Mas.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner
Halilludin Rahim ketika dihubungi berkata, Nur Zuliana Zaara telah
dihantar ke HRPZ II untuk rawatan lanjut dan setakat ini keadaan mangsa
dilaporkan stabil walaupun masih trauma dan enggan bercakap dengan
sesiapa.
“Polis kini sedang giat mengesan ibu tiri dan bapa kandung mangsa yang
didapati telah meninggalkan rumah dan melarikan diri,” katanya sambil
memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001
(Akta 611) kerana dera.
0 Komentar untuk "[MESTI BACA] Ibu Kandung Kepada Kanak-Kanak Yang Didera Hingga Patah Tulang Belakang Tampil Beri Penjelasan"