Beetle dapat sambutan luar biasa
KUALA LUMPUR 16 Sept. – Kereta ikonik Volkswagen Beetle yang baru dilancarkan minggu lalu telah menerima tempahan melebihi jangkaan awal Volkswagen Group Malaysia (VGM).
Pengarah Urusannya, Ricky Tay berkata, Beetle mula memasuki pasaran Malaysia pada tahun 1950-an dan sehingga kini telah menjadi terkenal serta pilihan peminat kereta unik.
“Sejak beberapa bulan ini, ramai mula bercakap-cakap mengenai Beetle baru dan kini ia sudah berada di pasaran Malaysia.
“Kami telah menerima tempahan sebelum pelancarannya lagi dan jumlahnya sudah melebihi jangkaan awal,” katanya pada majlis pelancaran Beetle di pameran Volkswagen’s Das Auto 2012, minggu lalu.
Beetle baru ini lebih menyerupai kereta asal model tahun 50-an berbanding model sebelum ini iaitu New Beetle terutamanya dari segi rekaan bentuk asas berbentuk ‘kumbang’.
Kereta ikon ini menggunakan enjin 1.2 TSI, iaitu enjin sama yang digunakan Polo Hatchback yang mampu menghamburkan kuasa 105 kuasa kuda dan 175 Nm kuasa kilasan pada 1,550 rpm hingga 4,100 rpm.
Beetle baru ditawarkan dalam tujuh warna iaitu putin candy, merah tornado, kuning saturn, perak reflex, hitam deep, perak platinum, perang graciosa dengan harga RM139.888 sebuah.
0 Komentar untuk "Beetle dapat sambutan luar biasa"